Friday, September 30, 2016

Pengurusan Masa

Pengurusan masa dalam kalangan pelajar merupakan antara masalah yang paling kritikal pada masa kini. Pelajar yang mampu membahagikan masanya dengan baik dengan aktiviti pembelajaran, ulangkaji, riadah, waktu lapang dan sebagainya adalah pelajar yang berupaya menguruskan masanya dengan baik dan kehidupannya terurus. Pelajaran dan masa bagi seseorang pelajar adalah sangat besar nilainya. Bagi menjadi seorang pelajar yang cemerlang, sememangnya pengurusan masa yang baik menjadi antara faktor kejayaan seseoran itu. Pengurusan masa yang baik juga dapat memberikan ruang dan peluang seseorang pelajar tersebut dalam melakukan aktiviti yang berfaedah dalam mencapai kecemerlangan akademik dan kokurikulum.

Kepentingan pengurusan masa yang baik dapat diperolehi apabila pelajar sedar betapa pentingnya masa dalam pembelajaran mereka. Apabila pelajar dapat menguruskan masa mereka dengan bijak, pelajar tidak akan berasa tertekan dengan kerja dan tugasan yang diberi oleh guru. Hal ini kerana, pelajar telah melakukan persediaan yang rapi dalam menyiapkan tugasan yang diberi dengan sempurna dan tepat pada masa yang diberikan. Selain itu, pelajar juga dapat melakukan aktiviti yang lebih bermakna dan mampu melepaskan stres yang melanda. Ini dapat dilihat apabila pelajar dapat menyiapkan tugasan dengan baik melalui pengurusan masa yang betul., pelajar dapat melakukan aktiviti yang menyeronokkan seperti mendaki, menonton wayang, meluangkan masa bersama keluarga, bercuti dan sebagainya. Oleh yang demikian, pengurusan masa yang baik juga menjadikan hidup seseorang pelajar lebih terurus dan gembira. Kita dalam melihat apabila dengan pengurusan masa yang baik, seseorang pelajar itu akan lebih tenang dan gembira menghadapi cabaran seharian kerana segala kerja dan tugasan sudah disiapkan dengan lebih awal. Hal ini juga mampu membuatkan pelajar mampu menguruskan hal-hal yang lain apabila kerja yang utama telah diselesaikan.

Apabila para pelajar tidak berkemampuan dalam menguruskan masa mereka dengan baik, pelbagai impak dan kesan yang diperoleh oleh para pelajar. Apabila pelajar gemar mengamalkan sikap menangguhkan kerja, pelajar akan berasa sangat tertekan kerana mengejar masa untuk menyiapkan kerja mereka. Jadi, banyak kerja yang tidak dapat diselesaikan pada masa yang sepatutnya. Apabila terlalu banyak kerja yang ditangguh, ia akan menjadi satu bebanan kepada para pelajar kerana harus bertungkus lumus dalam menyiapkan kerja yang diberikan. Hal ini akan memberikan kesan kepada kerja-kerja yang lain kerana ia tidak dapat diselesaikan dengan sempurna dan terbaik kerana kerja tersebut dilakukan secara terburu-buru.

Selain itu, masa rehat pelajar juga menjadi kurang. Terdapat segelintir pelajar yang ingin menyiapkan kerja mereka dalam masa hanya satu malam. Hal ini akan mengganggu masa rehat mereka pada waktu malam yang sepatutnya waktu untuk melepaskan lelah dan penat menghadapi cabaran sepanjang hari. Ini akan menjurus kepada penyakit seperti demam, pening kepala, emosi terganggu, air muka  menunjukkan tidak mendapat rehat yang secukupnya dan sebagainya. Apabila hal sebegini berlaku pada pelajar, pelajar tidak dapat menumpukan perhatian mereka di dalam kelas dengan baik kerana minda dan fizikal mereka berada dalam keadaan yang letih.


Oleh itu, cara yang paling berkesan dalam menguruskan masa ialah membuat jadual harian. Sememangnya pelajar tidak gemar akan jadual harian kerana berasa terikat dengan waktu. Hal ini sememangnya bagus dalam melatih mendisiplinkan para pelajar dalam mematuhi jadual harian mereka. Jadual harian seharusnya dibuat sesuai dengan masa dan aktiviti harian mereka. Dalam jadual tersebut perlulah merangkumi pelbagai aspek seperti aktiviti riadah, rehat bersama keluarga, ulangkaji, masa melakukan kerja rumah dan lain-lain. Jadi, rancanglah jadual harian anda dengan bijak.

No comments:

Post a Comment